بسم
الله الرحمن الرحيم
“..Ingatlah! Di saat sahabat kita
diuji dengan ujian kehidupan, sebenarnya ukhuwwah kita juga sedang diuji..”
Dalam
meniti jalan perjuangan ini, sudah pasti kita tidak akan merasa mudah dan
sentiasa berasa dalam keselesaan. Hakikat perjuangan itu memang pahit dan penuh
dengan jerit perih yang menguji ketabahan dan kesabaran. Dan yang paling
penting sudah tentulah akan menguji keimanan kita.
Ujian datang silih berganti. Bebanan semakin berat terasa.
Amanah semakin sukar dilaksana. Jiwa terasa resah, hati terasa gelisah. Namun,
digagahkan kaki melangkah meneruskan perjalanan kehidupan meski di dasar jiwa
dan hati itu sarat dengan pelbagai permasalahan yang belum ditemui jalan
penyelesaiannya. Luarannya nampak ceria namun jauh di sudut hatinya menangis
pilu. Adakalanya terpancar keletihan di wajah namun diukir senyuman pengubat
segala keresahan jiwa.
Bagaimana mungkin seseorang itu mengaku dirinya sebagai
teman dan sahabat seperjuangan sedangkan saat sahabatnya diuji dengan
permasalahan kehidupan, dia berasa megah dalam perjuangan dan memandang serong
dan sinis pada sahabatnya yang tersalah dalam tindakan serta tersasar dari
matlamat perjuangan.
Bagaimana mungkin kita mengaku diri kita pejuang agama Allah
jika kita membiarkan sahabat kita lemah dalam ujiannya dan tidak membantu untuk
menegakkan yang hak dan meruntuhkan yang batil. Yang hak dan yang batil tidak
akan pernah berjalan seiring.
Mungkin jati diri ini tidak terlalu kuat untuk menegakkan
pendirian sendiri. Tapi, sebagai seorang sahabat, cubalah kita tanamkan sifat
empati dalam diri kita. Letakkan diri kita dalam situasi dan keadaan yang
sahabat kita alami. Kemudian, cubalah untuk membantu menyelesaikan bukannya
sibuk menyalahkan. Menyalahkan sahabat kita kerana membantu dalam program
maksiat kononnya. Hebat mengeluarkan hujah menyatakan sahabat kita mendapat
saham ke neraka di akhirat kelak. Memandang serong. Sinis dalam percakapan.
Kita tidak tahu sahabat kita menjalankan tindakan dalam ketidakrelaan hatinya
dan tanpa redha diri sendiri sekadar ingin menjalankan tugas dan mengelakkan
pergaduhan dan persengketaan yang mungkin akan lebih teruk lagi.
Mana mungkin hati ini tidak terguris dengan pandangan serong
sahabat-sahabat sendiri saat setiap gerak laku pada hari itu membantu untuk
menjayakan program itu. Mana mungkin telinga ini tidak terasa pedih dengan
sindiran dan kata-kata sinis mengeluarkan hujah setiap gerak laku pada hari itu
adalah berdosa dan mendapat saham ke neraka.
Mereka tidak tahu betapa sepanjang menerima tugasan itu,
hati terasa resah, jiwa gelisah, fikiran buntu mencari penyelesaian. Diri ini
hanyalah hamba yang lemah dan hina. Ilmu di dada hanya sekelumit jika
dibandingkan dengan ilmu yang mereka miliki. Tahap keimanan juga mungkin hanyalah sekelumit
daripada mereka yang sangat hebat dalam ilmu agama. Saat diri ini menerima
banyak mesej-mesej agar tidak terlibat langsung dalam program tersebut, hati
semakin resah memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik. Ya Allah! Ya
Allah.... mana mungkin aku tergamak untuk menyelamatkan diri sendiri dan
meninggalkan serta membiarkan mereka dalam permasalahan ini. Akhirnya, aku
bertekad untuk bersama-sama adik-adikku untuk menjalankan tugas ini hanya
sekadar tugasan. Biarlah Allah yang menilai niat di dalam hati kami betapa DIA
lebih mengetahui segala isi hati hambaNya yang takut mendapat kemurkaanNya. Aku
berpesan pada adik-adikku agar menguatkan hati dan jiwa dengan sindiran
daripada orang sekeliling. Mereka tidak berada pada situasi ini. Mereka hanya
tahu menyalahkan dan memberi hukuman kami mendapat saham di akhirat kelak.
Saham membantu program maksiat kononnya. Saham neraka. Sungguh aku takut dengan
azabMu ya Allah. Selamatkan kami daripada seksaanMu dan jauhkan kami daripada
kemurkaaanMu.
Sungguh, betapa aku sedih dan kecewa dengan mereka yang
mengaku teman seperjuangan, sahabat syurga tapi tergamak membiarkan sahabat
sendiri lemah dalam ujian ini dan sanggup pula menyalahkan segala tindakan yang
dilakukan tanpa cuba membantu untuk mengeluarkan sahabat sendiri daripada
permasalahan ini. Mungkin mereka berasa hebat dalam perjuangan kerana berani
mempertahankan jati diri untuk memboikot program tersebut. Tetapi sebenarnya
jauh di sudut pandangan hamba yang hina ini betapa mereka itu sebenarnya gagal
menjadi seorang sahabat kerana sanggup membiarkan sahabat sendiri bersendirian
menghadapi ujian ini. Ingatlah !!!! Sentiasalah ingat di dalam hati, sematkan
dalm jiwa...SAAT SAHABAT KITA DIUJI DENGAN UJIAN KEHIDUPAN, UKHUWWAH KITA JUGA
SEBENARNYA SEDANG DIUJI....
Dan benarlah saat dan ketika kita menghadapi sesuatu ujian,
saat itulah kita mengenal yang mana sahabat sejati kita. Sahabat yang sentiasa
memberikan motivasi agar tidak lemah dalam ujian, sahabat yang memahami keadaan
dan situasi, tidak hanya menyalahkan jika tersalah dalam tindakan tetapi cuba
untuk membantu menyelesaikan. Ya Allah, peliharalah ikatan hati-hati kami agar
sentiasa erat dalam mendukung dan memperjuangkan kalimahMu. Moga dengan ujian
ini akan mendekatkan diriku padaMU. Sungguh, aku tidak berharap pada belas
kasihan manusia kerana aku tahu itu hanya akan memberi kekecewaan dan
meresahkan jiwaku. Hanya padaMu aku serahkan segala pengabdian diriku, cukup
hanya padaMu aku memohon segala rahmat agar memberi keampunan di atas segala
kesilapan dan kesalahan ku dalam melaksanakan setiap gerak kerja dan gerak laku
ku di atas muka bumi ini.