Saturday, April 16, 2011

Belajar Berenang

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Telah tamat sepuluh buku mengenai berenang dibacanya. Dia sudah mengetahui pelbagai cara berenang. Daripada kuak dada, kuak lentang, kuak kupu-kupu sehinggalah berenang dengan gaya bebas. Namun satu perkara yang masih menjadi kemusykilannya, dia masih tidak pandai berenang!!!

" Kau perlu ada guru. Jangan hanya membaca daripada buku, " nasihat seorang temannya.

" Baiklah. Mulai esok aku akan berguru."

"Mula-mula kita akan belajar mengapungkan diri," kata guru yang mengajarnya.

" Baik. Kemudian? "

"Julurkan tangan kanan ke hadapan dan tarik ke belakang dan sebelum tangan itu sampai ke belakang hulurkan pula tangan kiri dan lakukan balik gerakan seperti tangan kanan tadi. Lakukan berulang-ulang."

"Kedudukan kaki bagaimana?"
"Kaki hendaklah menguak air serentak dengan kuakan tangan," kata guru itu.

"Perut, dada dan kepala bagaimana?"

Agak berbuih mulut gurunya memberi penerangan tetapi anak murid itu terus juga bertanya dan bertanya..

" Susah betul mengajar anak murid yang satu ini, " keluhnya.
Akhirnya guru itu mengalah. Murid yang banyak bertanya itu payah diajar.
"Engkau belajar sahajalah dengan guru saya," katanya.

"Wah, tentu hebat!! Belajar dengan guru kepada guru. Tentu guru itu mampu menyelesaikan segala kekusutan ini," bisiknya.

Setibanya di sekolah renang yang baru, dia terus dibawa ke kolam renang.
Sebaik meletakkan barang-barangnya, guru tersebut terus menolak murid itu ke dalam kolam.. 

"Tolong! Tolong! Saya tidak pandai berenang !"

Guru itu cuma melihatnya dengan selamba. Murid tersebut tenggelam timbul dalam kolam renang tersebut. Dia mula panik dan sangat takut. Tetapi dalam keadaan terdesak itu, dia ingat semula ilmu renang yang telah dipelajarinya. Tangan, kaki, perut dan dadanya digerakkan mengikut apa yang telah dipelajari. Dia benar-benar terdesak. Akhirnya, tanpa dia sendiri menduga...badannya terapung dan dia sudah mula berenang!

Pengajaran : Cara belajar yang paling berkesan adalah dengan mempraktikkan apa yang kita pelajari. Untuk mendapatkan pengalaman, ilmu perlu diamalkan. Pengalaman itulah guru yang terbaik!!

Cute Red Flying Butterfly