Monday, February 11, 2013

..:: Jangan takut sebarkan kebaikan ::..

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ ارَّحِيم

Lihatlah dunia hari ini,
Makin berubah hari demi hari,
Bila buat baik disuruh berhati-hati,
Kerana bimbang keselamatan diri sendiri...

Persoalan bermain di dasar hati,
Kenapa perlu berkira hal begini,
Bukankah Allah telah memberi janji?
Maka yakinlah pada Allah dalam hal duniawi....

Sebarkan kebaikan walau sebesar biji sawi,
Biarpun terhadap insan tak dikenali,
Allah menilai keikhlasan hati,
Usah bimbang pada kezaliman duniawi...

-Balaslah kejahatan dengan kebaikan | AAJ1812®-

 
Dalam menyusuri perjalanan kehidupan ini, ternyata kita tidak sepi dari persoalan-persoalan tentang hakikat sebenar kehidupan. Jauh di sudut akalku, aku berfikir panjang. Pernahkah kita mengalami situasi di mana sedang kita berjalan-jalan, datang seseorang yang meminta simpati dengan menghulurkan tangannya memohon sedekah? Sudah pasti ramai yang mengalami situasi sebegini. Ataupun sedang duduk makan bersama rakan-rakan datang seorang tua menghulurkan senaskhah yasin kecil untuk dijual kepada kita. Namun, cuba kita renungkan kembali apa reaksi ataupun respon kita terhadap insan-insan sebegini. 

Selalu aku timbulkan persoalan di benak rasa sahabat-sahabatku, "apa tindakan kita jika terjumpa insan sebegini?"

Jawapan-jawapan yang ku terima selalu sahaja membuatkan hatiku tidak mencapai kedamaiannya.
"Kita masih belajar. Duit yang kita ada parents kita bagi untuk perbelanjaan kita."

"Alahhh...pakcik tue saja jak minta-minta duit kat orang padahal banyak kerja lain yang boleh dia buat berdasarkan kudrat yang dia ada. Nampak sangat pemalas orang nie."

"Eh, takyahlah bagi. entah-entah penagih dadah kot. Sia-sia jak kita bagi duit untuk benda-benda tak berfaedah tue..."


Banyak lagi jawapan-jawapan serupa yang pernah menitip di pendengaranku mengenai hal ini. Namun jauh di sudut hatiku, aku tetap berfikir, "Kenapa kita tidak yakin pada janji Allah? Allah menyatakan janji-NYA, setiap kebaikan itu pasti dilipatgandakan ganjarannya.." 


Mungkin juga pandangan-pandangan sahabatku itu benar namun aku berpegang pada prinsip keyakinanku. Tidak kisahlah insan yang meminta itu memiliki niat apa, mudah-mudahan dengan sedikit pemberian itu mampu menunjukkan NUR ISLAM di dalam hatinya. Islam itu indah. Semoga keindahan itu terpancar dengan setiap detik perbuatan kita. Allah menilai setiap perbuatan kita, hatta setiap detik tersembunyi di dasar hati turut menjadi nilaian Allah.

“Amalan kita dinilai berdasarkan niat dan cara.  Jika kita niatkan kerana Allah dan cara sudah bertepatan dengan syarak, maka ia tetap berpahala sekalipun penerimanya menipu.  Amalan penerima dinilai berdasarkan niat dan caranya sendiri.  Kita tidak menanggung apa-apa kerugian dari perbuatannya.”

Wallahualam. ALLAH MAHA MENGETAHUI.
..:: MENITI JALAN SYURGA | AN AWESOME JOURNEY ::..


Saturday, January 26, 2013

..:: Berubah Menuju-NYA ::..

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ ارَّحِيم

" Bila mana seorang insan itu terdetik dalam hatinya untuk melakukan perubahan menuju Allah, maka di saat itu jugalah syaitan dan iblis laknatullah akan mula bertindak menyucuk jarum-jarum halusnya ke dalam hati insan itu..."


Melaksanakan sesuatu perubahan daripada kebiasaan seseorang di dalam kehidupan sehariannya merupakan sesuatu yang memerlukan pengorbanan yang tinggi. Apatah lagi jika jalan perubahan yang dipilih itu adalah jalan menuju cinta Allah.
" Cinta Allah itu tujuan,
cinta Rasulullah itu jalan...
Tidak tercapai tujuan LAILLAHAILLAH, 
Tanpa mengikut jalan MUHAMMAD RASULULLAH..."

Kita hidup di dunia ini hanyalah sementara. Kita adalah hamba maka sesuai dengan status hambaNYA kita layak diuji dan terus diuji. Bagi mereka yang Allah berikan cahaya petunjuk di dalam hati mereka, maka mereka akan sedar akan tujuan hidup mereka adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah bukannya keredhaan manusia. Namun, dewasa ini berapa ramai antara kita yang lebih takutkan manusia daripada takutkan Allah??? Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara hendaklah kita meletakkan pergantungan yang kuat pada Allah. Kerana hakikatnya manusia tidak memiliki apa-apa kekuatan melainkan dengan izin Allah.

Buat sahabat-sahabatku yang dikasihi Allah....
Aku ingin memberitahu kamu bahawa amat tinggi kecintaan Allah terhadap kita namun kita sering lalai dari mengingati-NYA. Betapa tingginya dan dalamnya kasih Rasulullah kepada kita umatnya di akhir zaman, namun kita tidak pernah mengingati Baginda dek sibuk dengan urusan keduniaan yang tidak pernah ada kesudahannya. Allahurabbi. Andai di dalam hati kita punyai kecintaan yang terlalu dalam terhadap Allah dan kerinduan melampau terhadap Rasulullah, setiap urusan keduniaan akan mengingatkan kita kepada kematian. Terlalu rindu untuk bertemu dengan-NYA.

Sahabatku yang dicintai Allah,
Jika terdetik di dalam hatimu untuk melaksanakan perubahan, jangan pernah berpaling lagi. Genggamlah rasa hati untuk berubah itu dan jangan peduli akan bisikan-bisikan syaitan yang meresahkan hatimu. Jangan peduli akan pandangan serong manusia-manusia sekeliling kerana pandangan Allah lebih bernilai daripada pandangan manusia. Saat kamu lemah tidak memiliki sesiapa untuk mengadukan rasa hatimu, kembalikan rasa itu kepada Allah. Mengadulah dengan-NYA di setiap hening malam. Betapa Allah Maha Mendengar pengaduan hamba-NYA di saat itu. Terlalu tinggi kecintaan Allah terhadap hambaNYA yang kembali bertaubat pada-NYA. Biarkan segala resah, gelisah perasaanmu itu mengalir bersama air mata penyesalan di saat kau bersama Tuhanmu. Ketika tiada insan lain yang mendengarkan masalahmu itu, di saat itulah Allah menurunkan rahmat kedamaian di dalam hatimu. Kasih sayang Allah itu ajaib sahabatku. Di saat hambaNYA kecewa dengan rahmatNYA, ALLAH datangkan derita kehidupan agar kita kenal apa erti kecintaan pada TUHAN. Bila mana ALLAH inginkan kebaikan bagi seseorang hambaNYA, DIA turunkan berbagai ujian buat hambaNYA itu agar mereka kuat dalam perjuangan kehidupan, agar mereka tidak lalai dibuai arus kelalaian dan kealpaan.

Sahabatku yang dikasihi Allah,
Di saat semua insan menghina dan mengata tentangmu, laluilah dengan kesabaran dan bergembiralah kerana jalan itu adalah jalan yang pernah Rasulullah hadapi. Damaikan hatimu dengan janjiNYA sahabatku. Tidak perlu menyimpan dendam terhadap mereka. Sebarkan kemaafan dan doakan mereka. In shaa Allah kedamaian dan ketenagan itu pasti menjadi milikmu dengan izin Allah. Kuatkan pergantunganmu pada Allah di jalan perubahan ini kerana iblis tidak akan pernah putus asa menghentikan penghijrahanmu itu. (^_^)

"..Perubahan itu menuntut kesabaran,
Walau mendapat tentangan pasti ada rahmat Tuhan..."
 

-AAJ MILIK ALLAH | An Awesome Journey-
..:: Jalan-NYA Bukan Mudah, Tapi Indah !! ::..


Thursday, December 27, 2012

..:: Anugerah Cinta-Nya | Salam Jihad Sahabatku ::..

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ ارَّحِيم

Andai payah saat melangkah,
Andai tersungkur jatuh,
Jangan pernah rasa kecewa dan putus-asa !!

Dalam keheningan malam, aku bermunajat menyerahkan setinggi-tinggi pengharapanku pada-Mu Rabbul Izzati Pemilik Cinta Hakiki. Sungguh, hidup ini sementara. Yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian. Yang hidup pasti akan merasai ujian demi ujian. Meski jauh di dasar hati terdetik kerisauan, namun iman menyapa diri agar bermuhasabah panjang akan hakikat medan ujian kehidupan. Maka, damailah hatiku dengan sentuhan kasih Ya Rahim.

Sahabatku,
Aku menjauh agar dirimu mendekat pada-Nya. Jauh di dasar nuranimu, kau tidak memerlukan kata-kata semangatku..Hatimu mendamba rindu Pemilik Cinta itu. Hatimu rindu untuk terus bercerita dengan-NYA. Walau terkadang akal terasa lemah bersendirian menghadapinya, namun hatimu kuat menyatakan dalam bersendirian itu terasa keindahan pergantungan harapan padaNYA.

Sahabatku,
Aku menyepi agar hatimu penuh dengan cinta-NYA. Jauh di sudut akalmu mengharapkan belaian kasih insan, namun dalam kesepian itu Allah mengajar dirimu nikmat cintaNya. Keprihatinanku dengan selalu menghubungimu tidak akan mampu memberi kekuatan luar biasa pada hatimu untuk menghadapi ujian hebat ini. Kekuatan itu dengan izinNya, keyakinanku kuat kau mampu menghadapinya sendirian kerana di sebalik kehidupanmu penuh dengan iringan doa dihadiahkan buat bekalanmu di perjalanan. Damailah hatiku dengan keyakinan ALLAH melindungimu sahabatku.

Sahabatku,
Keajaiban doa dan tawakal padaNYA itu akan dirasai bagi yang pernah mengalaminya. Dahsyatnya doa seorang hambaNYA, mampu bertahan sehingga ke tahap ini. Meniti perjalanan berliku itu terasa perit namun tersimpan rahsia nikmat indahnya keperitan itu.Dalam bersendirian, mendidik keberanian dan ketabahan. Dalam serba kekurangan mendidik erti kesyukuran. Dalam mendamba kasih insan, Allah anugerahkan nikmat cinta Tuhan. Bukan mudah, tapi indah!!!

Sahabatku,
Teruskan perjalananmu berbekalkan kekuatan dariNYA. Keyakinanku sudah lama terhapus pada manusia, kerana aku hanya percaya dan yakin pada ALLAH. Hakikat segalanya hanya milik DIA. Manusia selalu membuahkan kekecewaan, hatta insan yang disayangi sekalipun pasti pernah membuatkan kita kecewa. Kerana kebahagiaan itu hanya perdampingan denganNYA. Moga hatimu hanya ada cintaNya dan moga dipertemukan dengan insan-insan yang mencintaiNYA agar bertambah nikmat anugerah cinta-Nya di dalam hati.

Kesembuhan itu milik Allah dengan izinNya segalanya pasti tersirat hikmah. Melangkahlah dengan keyakinan tawakal padaNya. Hapuskan segala keperitan dengan kesabaran agar tersingkap nikmat ujian tanda kecintaan Tuhan padamu. Berpisah kita di perjalanan ini kerana medan ujian kita berbeza namun in shaa Allah destinasi pasti, tujuan sama.Wallahualam. Salam Jihad sahabatku... (^_^)

AAJ MILIK ALLAH
Rahsia Perjalanan "Bukan Mudah, Tapi Indah!! - An Awesome Journey





Saturday, September 22, 2012

..:: Kau Motivatorku | 007::..

Aku lelah dalam melangkah,
Aku resah dalam gelisah,
PadaMu aku berserah,
Di jalanMu aku teruskan langkah.....


Sungguh, perjalanan ini bukan perjalanan yang mudah dan sentiasa diulit kemanisan. Hakikat sebenarnya penuh dengan ujian. Penuh dengan cabaran. Perjuangan ini bukan hanya perjuangan biasa-biasa, ianya bukan perjuangan senjata dan darah, bukan juga perjuangan pen dan kertas, tetapi inilah perjuangan hati dan nafsu. 

" Dalam setiap tubuh badan anak Adam itu terdapat seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya, tetapi jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya, dan seketul daging itulah yang dinamakan sebagai HATI. "

Beribu insan hadir sepanjang perjalanan kehidupan kita. Ada yang memberi kebaikan, ada yang memberi manfaat dan juga yang memberi kesenangan. Turut hadir juga insan-insan yang memberi keburukan, memberi kezaliman dan sering memberi kesusahan. Cerita kita cerita yang berbeza. Mungkin sama tetapi pasti berbeza. 

[ Dedicated to someone that inspire me | May Allah bless ]

Kau bersendirian tetapi hakikatnya hatimu sentiasa berteman. 
Bertemankan siapa? 
Bertemankan Tuhan seluruh alam.
 Pengaduan setiap permasalahanmu bukan pada insan,
Namun bicaramu kerap pada Tuhan Yang Maha Mendengar...
Resah, gelisah dan susahmu kau terima dengan tawakal pada Tuhan...
Mudah, tenang dan senangmu  sentiasa dibaluti dengan kesyukuran,
Meski aku bukan insan pilihan,
Kau akan sentiasa menjadi ingatan,
Ingatan dalam pengabdian pada Tuhan..
Kau Motivatorku...
Kata-katamu tazkirah dalam perjuangan,
Moga kau bertemu kasih insan yang mendekatkan kau pada Tuhan,
Moga kau melangkah dalam kesabaran dan jiwamu penuh kehambaan pada Tuhan,
Sungguh, bagimu kebahagiaan dan keceriaan itulah sebenarnya realiti kehidupan,
Meski dilanda pelbagai kesusahan namun di wajahmu tetap mengukir senyuman dan terlihat ketenangan,
Ku panjatkan pengaduanku pada Tuhan,
Moga kau thabat dalam titian perjuangan,
Moga hatimu sentiasa bertemankan Tuhan,
Moga mahabbahmu diletakkan pada insan yang mencintai Allah Ya Rahman,
Moga belas dan kasihmu disebarkan pada saudara seperjuangan,
Sungguh, aku melihat keindahan Islam dalam dirimu,
Moga keindahan itu akan terus mekar hingga penghujung kehidupanmu, dunia dan akhirat....

[ Ukhuwwah fillah abadan abada | Moga Allah redha ]







Tuesday, August 28, 2012

..:: Rindu Dalam Doa ::..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Rinduku dalam kalbu...
Terlafaz dalam setiap kalimah doaku...
Mengharap bertemu dalam syurgaMu...
Ya Rabbi..pilihlah diriku....


Walau aku sendiri,
 Aku tetap perlu berdiri,
 Meski aku tidak mampu berlari, 
Namun aku perlu berdikari....


Aku hamba, kau juga hamba,
Hamba Yang Mencipta,
Aku tidak mampu, kau juga tidak mampu,
Kerna yang mampu hanya DIA yang Maha Esa.


Kita berbeza tetapi sama,
Jalan kita berbeza,
Matlamat kita sama,
Moga destinasi kelak juga sama; syurgaNya...



............................................................................
..::BICARA TANPA SUARA::..






Sunday, August 19, 2012

..:: Salam Aidilfitri 1433H ::..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Berlalunya Ramadhan, menjelanglah Syawal...
Hari kemenangan penuh kesyukuran...
Moga istiqamah dalam membuat amal...
Kerana kita hamba Allah, bukan hamba Ramadhan....


"الله أكبر الله أكبر ، لا إله إلا الله ، الله أكبر ، الله أكبر ولله الحمد"

Alhamdulillah akhirnya diizinkan Allah untuk kita melalui madrasah Ramadhan sehingga tiba ke bulan Syawal. Taqqabballahu minna wa minkum

Dalam keriangan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang di samping ucapan salam lebaran memohon kemaafan yang bersilih ganti daripada sahabat dan juga saudara mara, tiba-tiba teringat aku pada beberapa insan, terkenang aku akan situasi mereka....Kalaulah aku berada di tempat mereka, adakah mungkin aku akan menjadi setabah mereka untuk menghadapi ujian ini?....Beruntung aku dipertemukan dengan mereka.. Kerana melalui situasi mereka, aku belajar beberapa silibus kehidupan....
" Sungguh, Allah tidak akan menguji hambaNya sesuai dengan kemampuan mereka "
 
 Insan 1 :
Malam itu, solat terawih telah diimamkan oleh seorang hafiz daripada Palestin. Allahurabbi. Selesai sahaja menunaikan solat terawih pada malam itu, sedikit tazkirah telah disampaikan oleh imam tersebut. Menurutnya, Palestin setiap hari pasti akan ada yang syahid dan bumi Palestin tidak akan pernah sunyi daripada bunyi senjata-senjata api yang dahagakan tubuh orang Islam. Setiap hari, pasti akan ada suami kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, ibu bapa kehilangan anak-anak.....Allahuakbar.. Saat kita bersenang-lenang di bumi Malaysia, kita lupa akan saudara kita di Palestin. Tidak tergambar bagaimana keadaan mereka. Hidup dalam keadaan seperti itu. Ya Allah. Bagaimana mungkin kita mengaku diri kita beriman sedangkan kita tidak pernah mengirimkan doa buat saudara-saudara kita yang dizalimi dan dianiayai. Renung-renungkan sahabat sekalian. Saat kita bergembira menyambut Syawal, jangan kita pernah lupa akan saudara-saudara kita. Mungkin dengan mengingati kesusahan orang lain akan menjadikan kita seorang hambaNya yang bersyukur. Kadang-kadang, ada orang bertanya, " Kenapa kita perlu sibuk2 hal dorang? Dorang tidak kenal kita pun...Kenapa mengaku dorang tue saudara kita? " ...
Ingatlah sahabatku, ikatan persaudaraan itu bukan hanya terletak pada pertalian darah, tapi apa yang lebih penting ialah ikatan persaudaraan itu terletak pada ikatan akidah yang sama.
" Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Dan ingatlah setiap muslim itu adalah bersaudara.. "


Insan 2.
Sedang aku duduk menunggu adikku di stesen KTM itu, tiba-tiba aku melihat seorang lelaki sedang sibuk mencari-cari sesuatu. Ke hulu ke hilir dia bertanya dan terus mencari. Kemudian, kulihat di sisinya anak-anak kecilnya sedang sibuk mengikut ayahnya. Setelah melihat gelagat mereka, barulah aku tahu apa yang sedang dicari oleh orang tersebut. Rupa-rupanya dia kehilangan tiket untuk balik ke kampung. Hendak beli tiket sekarang, sudah pasti sudah habis dijual. Terukir kerisauan di wajahnya kerana hari esok merupakan Hari Raya. Dia terus mencari. Aku turut meninjau-ninjau dari jauh manatau ada tiket yang jatuh di kawasan itu. Namun, hampa. Tidak ditemui. Aku hanya mampu berdoa semoga urusan pakcik itu dipermudahkan Allah. Kasihan melihat dia bersama anak-anak kecilnya tidak dapat beraya di kampung jika tiket itu tidak ditemui. Dalam melihat kesusahan orang lain, aku bermuhasabah diri. Dalam kehidupan ini, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah lah sebaik-baik perancang. Tidak akan terjadi sesuatu itu melainkan dengan kehendakNYa. Oleh sebab itu, apa jua situasi yang dihadapi dalam perjalanan hidup ini tidak kita pahit ataupun manis, sentiasalah berbaik sangka denganNya. Mungkin dengan ujian Allah itu akan mengajar kita sesuatu yang lebih berharga. Everything happen for a reason.
 
Dalam gema takbir
Syukurku menginsafi diri
Sayu, pilu, sepi terukir
Terkenang insan yang telah pergi
 
Ku panjatkan setinggi syukur
Ke hadrat Mu ya Rabbi
Hidup dalam sabar
Redha, tabah, melangkah tanpa henti
 
P/S : Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin buat semua sahabat. Moga kita istiqamah dalam ketaatan. Kita hamba ALLAH bukan hamba Ramadhan. Jangan kita hanya memperbanyak  amalan pada bulan Ramadhan sedangkan bulan-bulan lain kita meninggalkan kewajipan. Renung-renungkan (n_n)
 
 
 
 

Friday, August 10, 2012

..:: Hidayah Milik Allah ::..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hati resah bila tersasar dari fitrah
Jiwa kosong bila jauh dari Allah
Carilah hidayah....
Pasti kau temui segala hikmah

Subahanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Syukurku ke hadrat Allah masih lagi dkurniakan nikmat kehidupan di atas muka bumi ini dengan kurniaan nikmat yang paling besar iaitu nikmat IMAN dan ISLAM. Sungguh, dengan ISLAM, segala kehidupan kita akan berada di bawah perlindungan Allah. 

Malam itu, seusai sahaja solat terawih di surau, aku segera balik ke asrama memandangkan kerja tugasan yang diberikan pensyarah berlambak-lambak. Dalam perjalanan balik, tiba-tiba aku menerima mesej daripada salah seorang sahabat baikku.

" Assalamualaikum ya ukhti. Enti apa kabar? Ada nama Islam yang sesuai tak dengan sahabat ana ______________ ... Dia bercadang nak masuk Islam. InsyaAllah dalam bulan Ramadhan nie. Enti tolong doakan dia moga urusannya dipermudah ya ..(n_n)...."

Allahuakbar. Ramadhan Kareem. Tersentuh hati membaca mesej dan mendengar khabaran gembira daripada sahabat baikku itu. Ternyata penyebaran dakwahnya berkesan sehingga mampu menarik minat sahabat bukan Islam untuk menjadi saudara baru. Keberkatan bulan Ramadhan, moga Allah mempermudahkan segala urusannya.

Dan sungguh indah perancangan Allah. Kita merancang tapi Allah lah sebaik-baik perancang buat setiap apa yang terjadi. Ternyata kebaikan itu milik dirinya. Di hari yang mulia, penghulu segala hari, Sayyidul yaum, hari Jumaat pukul 2 petang, bersaksikan segala isi Bumi, dirinya melafazkan kalimah syahadah. Ya Allah. Ya Rabbi. Alhamdulillah. Alhamdulillah wa syukur lillah. 



Jalan perjuangan ini tidak mudah sahabat. Andai ianya mudah sudah pasti ramai yang menyertainya. Namun, sebaliknya ianya penuh onak dan duri. Itulah mahar dan bayaran yang perlu kita langsaikan untuk mendapatkan Jannah.


 



Cute Red Flying Butterfly