Pages




Thursday, December 27, 2012

..:: Anugerah Cinta-Nya | Salam Jihad Sahabatku ::..

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ ارَّحِيم

Andai payah saat melangkah,
Andai tersungkur jatuh,
Jangan pernah rasa kecewa dan putus-asa !!

Dalam keheningan malam, aku bermunajat menyerahkan setinggi-tinggi pengharapanku pada-Mu Rabbul Izzati Pemilik Cinta Hakiki. Sungguh, hidup ini sementara. Yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian. Yang hidup pasti akan merasai ujian demi ujian. Meski jauh di dasar hati terdetik kerisauan, namun iman menyapa diri agar bermuhasabah panjang akan hakikat medan ujian kehidupan. Maka, damailah hatiku dengan sentuhan kasih Ya Rahim.

Sahabatku,
Aku menjauh agar dirimu mendekat pada-Nya. Jauh di dasar nuranimu, kau tidak memerlukan kata-kata semangatku..Hatimu mendamba rindu Pemilik Cinta itu. Hatimu rindu untuk terus bercerita dengan-NYA. Walau terkadang akal terasa lemah bersendirian menghadapinya, namun hatimu kuat menyatakan dalam bersendirian itu terasa keindahan pergantungan harapan padaNYA.

Sahabatku,
Aku menyepi agar hatimu penuh dengan cinta-NYA. Jauh di sudut akalmu mengharapkan belaian kasih insan, namun dalam kesepian itu Allah mengajar dirimu nikmat cintaNya. Keprihatinanku dengan selalu menghubungimu tidak akan mampu memberi kekuatan luar biasa pada hatimu untuk menghadapi ujian hebat ini. Kekuatan itu dengan izinNya, keyakinanku kuat kau mampu menghadapinya sendirian kerana di sebalik kehidupanmu penuh dengan iringan doa dihadiahkan buat bekalanmu di perjalanan. Damailah hatiku dengan keyakinan ALLAH melindungimu sahabatku.

Sahabatku,
Keajaiban doa dan tawakal padaNYA itu akan dirasai bagi yang pernah mengalaminya. Dahsyatnya doa seorang hambaNYA, mampu bertahan sehingga ke tahap ini. Meniti perjalanan berliku itu terasa perit namun tersimpan rahsia nikmat indahnya keperitan itu.Dalam bersendirian, mendidik keberanian dan ketabahan. Dalam serba kekurangan mendidik erti kesyukuran. Dalam mendamba kasih insan, Allah anugerahkan nikmat cinta Tuhan. Bukan mudah, tapi indah!!!

Sahabatku,
Teruskan perjalananmu berbekalkan kekuatan dariNYA. Keyakinanku sudah lama terhapus pada manusia, kerana aku hanya percaya dan yakin pada ALLAH. Hakikat segalanya hanya milik DIA. Manusia selalu membuahkan kekecewaan, hatta insan yang disayangi sekalipun pasti pernah membuatkan kita kecewa. Kerana kebahagiaan itu hanya perdampingan denganNYA. Moga hatimu hanya ada cintaNya dan moga dipertemukan dengan insan-insan yang mencintaiNYA agar bertambah nikmat anugerah cinta-Nya di dalam hati.

Kesembuhan itu milik Allah dengan izinNya segalanya pasti tersirat hikmah. Melangkahlah dengan keyakinan tawakal padaNya. Hapuskan segala keperitan dengan kesabaran agar tersingkap nikmat ujian tanda kecintaan Tuhan padamu. Berpisah kita di perjalanan ini kerana medan ujian kita berbeza namun in shaa Allah destinasi pasti, tujuan sama.Wallahualam. Salam Jihad sahabatku... (^_^)

AAJ MILIK ALLAH
Rahsia Perjalanan "Bukan Mudah, Tapi Indah!! - An Awesome Journey





Saturday, September 22, 2012

..:: Kau Motivatorku | 007::..

Aku lelah dalam melangkah,
Aku resah dalam gelisah,
PadaMu aku berserah,
Di jalanMu aku teruskan langkah.....


Sungguh, perjalanan ini bukan perjalanan yang mudah dan sentiasa diulit kemanisan. Hakikat sebenarnya penuh dengan ujian. Penuh dengan cabaran. Perjuangan ini bukan hanya perjuangan biasa-biasa, ianya bukan perjuangan senjata dan darah, bukan juga perjuangan pen dan kertas, tetapi inilah perjuangan hati dan nafsu. 

" Dalam setiap tubuh badan anak Adam itu terdapat seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya, tetapi jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya, dan seketul daging itulah yang dinamakan sebagai HATI. "

Beribu insan hadir sepanjang perjalanan kehidupan kita. Ada yang memberi kebaikan, ada yang memberi manfaat dan juga yang memberi kesenangan. Turut hadir juga insan-insan yang memberi keburukan, memberi kezaliman dan sering memberi kesusahan. Cerita kita cerita yang berbeza. Mungkin sama tetapi pasti berbeza. 

[ Dedicated to someone that inspire me | May Allah bless ]

Kau bersendirian tetapi hakikatnya hatimu sentiasa berteman. 
Bertemankan siapa? 
Bertemankan Tuhan seluruh alam.
 Pengaduan setiap permasalahanmu bukan pada insan,
Namun bicaramu kerap pada Tuhan Yang Maha Mendengar...
Resah, gelisah dan susahmu kau terima dengan tawakal pada Tuhan...
Mudah, tenang dan senangmu  sentiasa dibaluti dengan kesyukuran,
Meski aku bukan insan pilihan,
Kau akan sentiasa menjadi ingatan,
Ingatan dalam pengabdian pada Tuhan..
Kau Motivatorku...
Kata-katamu tazkirah dalam perjuangan,
Moga kau bertemu kasih insan yang mendekatkan kau pada Tuhan,
Moga kau melangkah dalam kesabaran dan jiwamu penuh kehambaan pada Tuhan,
Sungguh, bagimu kebahagiaan dan keceriaan itulah sebenarnya realiti kehidupan,
Meski dilanda pelbagai kesusahan namun di wajahmu tetap mengukir senyuman dan terlihat ketenangan,
Ku panjatkan pengaduanku pada Tuhan,
Moga kau thabat dalam titian perjuangan,
Moga hatimu sentiasa bertemankan Tuhan,
Moga mahabbahmu diletakkan pada insan yang mencintai Allah Ya Rahman,
Moga belas dan kasihmu disebarkan pada saudara seperjuangan,
Sungguh, aku melihat keindahan Islam dalam dirimu,
Moga keindahan itu akan terus mekar hingga penghujung kehidupanmu, dunia dan akhirat....

[ Ukhuwwah fillah abadan abada | Moga Allah redha ]







Tuesday, August 28, 2012

..:: Rindu Dalam Doa ::..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Rinduku dalam kalbu...
Terlafaz dalam setiap kalimah doaku...
Mengharap bertemu dalam syurgaMu...
Ya Rabbi..pilihlah diriku....


Walau aku sendiri,
 Aku tetap perlu berdiri,
 Meski aku tidak mampu berlari, 
Namun aku perlu berdikari....


Aku hamba, kau juga hamba,
Hamba Yang Mencipta,
Aku tidak mampu, kau juga tidak mampu,
Kerna yang mampu hanya DIA yang Maha Esa.


Kita berbeza tetapi sama,
Jalan kita berbeza,
Matlamat kita sama,
Moga destinasi kelak juga sama; syurgaNya...



............................................................................
..::BICARA TANPA SUARA::..






Sunday, August 19, 2012

..:: Salam Aidilfitri 1433H ::..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Berlalunya Ramadhan, menjelanglah Syawal...
Hari kemenangan penuh kesyukuran...
Moga istiqamah dalam membuat amal...
Kerana kita hamba Allah, bukan hamba Ramadhan....


"الله أكبر الله أكبر ، لا إله إلا الله ، الله أكبر ، الله أكبر ولله الحمد"

Alhamdulillah akhirnya diizinkan Allah untuk kita melalui madrasah Ramadhan sehingga tiba ke bulan Syawal. Taqqabballahu minna wa minkum

Dalam keriangan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang di samping ucapan salam lebaran memohon kemaafan yang bersilih ganti daripada sahabat dan juga saudara mara, tiba-tiba teringat aku pada beberapa insan, terkenang aku akan situasi mereka....Kalaulah aku berada di tempat mereka, adakah mungkin aku akan menjadi setabah mereka untuk menghadapi ujian ini?....Beruntung aku dipertemukan dengan mereka.. Kerana melalui situasi mereka, aku belajar beberapa silibus kehidupan....
" Sungguh, Allah tidak akan menguji hambaNya sesuai dengan kemampuan mereka "
 
 Insan 1 :
Malam itu, solat terawih telah diimamkan oleh seorang hafiz daripada Palestin. Allahurabbi. Selesai sahaja menunaikan solat terawih pada malam itu, sedikit tazkirah telah disampaikan oleh imam tersebut. Menurutnya, Palestin setiap hari pasti akan ada yang syahid dan bumi Palestin tidak akan pernah sunyi daripada bunyi senjata-senjata api yang dahagakan tubuh orang Islam. Setiap hari, pasti akan ada suami kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, ibu bapa kehilangan anak-anak.....Allahuakbar.. Saat kita bersenang-lenang di bumi Malaysia, kita lupa akan saudara kita di Palestin. Tidak tergambar bagaimana keadaan mereka. Hidup dalam keadaan seperti itu. Ya Allah. Bagaimana mungkin kita mengaku diri kita beriman sedangkan kita tidak pernah mengirimkan doa buat saudara-saudara kita yang dizalimi dan dianiayai. Renung-renungkan sahabat sekalian. Saat kita bergembira menyambut Syawal, jangan kita pernah lupa akan saudara-saudara kita. Mungkin dengan mengingati kesusahan orang lain akan menjadikan kita seorang hambaNya yang bersyukur. Kadang-kadang, ada orang bertanya, " Kenapa kita perlu sibuk2 hal dorang? Dorang tidak kenal kita pun...Kenapa mengaku dorang tue saudara kita? " ...
Ingatlah sahabatku, ikatan persaudaraan itu bukan hanya terletak pada pertalian darah, tapi apa yang lebih penting ialah ikatan persaudaraan itu terletak pada ikatan akidah yang sama.
" Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Dan ingatlah setiap muslim itu adalah bersaudara.. "


Insan 2.
Sedang aku duduk menunggu adikku di stesen KTM itu, tiba-tiba aku melihat seorang lelaki sedang sibuk mencari-cari sesuatu. Ke hulu ke hilir dia bertanya dan terus mencari. Kemudian, kulihat di sisinya anak-anak kecilnya sedang sibuk mengikut ayahnya. Setelah melihat gelagat mereka, barulah aku tahu apa yang sedang dicari oleh orang tersebut. Rupa-rupanya dia kehilangan tiket untuk balik ke kampung. Hendak beli tiket sekarang, sudah pasti sudah habis dijual. Terukir kerisauan di wajahnya kerana hari esok merupakan Hari Raya. Dia terus mencari. Aku turut meninjau-ninjau dari jauh manatau ada tiket yang jatuh di kawasan itu. Namun, hampa. Tidak ditemui. Aku hanya mampu berdoa semoga urusan pakcik itu dipermudahkan Allah. Kasihan melihat dia bersama anak-anak kecilnya tidak dapat beraya di kampung jika tiket itu tidak ditemui. Dalam melihat kesusahan orang lain, aku bermuhasabah diri. Dalam kehidupan ini, kita hanya mampu merancang, tetapi Allah lah sebaik-baik perancang. Tidak akan terjadi sesuatu itu melainkan dengan kehendakNYa. Oleh sebab itu, apa jua situasi yang dihadapi dalam perjalanan hidup ini tidak kita pahit ataupun manis, sentiasalah berbaik sangka denganNya. Mungkin dengan ujian Allah itu akan mengajar kita sesuatu yang lebih berharga. Everything happen for a reason.
 
Dalam gema takbir
Syukurku menginsafi diri
Sayu, pilu, sepi terukir
Terkenang insan yang telah pergi
 
Ku panjatkan setinggi syukur
Ke hadrat Mu ya Rabbi
Hidup dalam sabar
Redha, tabah, melangkah tanpa henti
 
P/S : Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin buat semua sahabat. Moga kita istiqamah dalam ketaatan. Kita hamba ALLAH bukan hamba Ramadhan. Jangan kita hanya memperbanyak  amalan pada bulan Ramadhan sedangkan bulan-bulan lain kita meninggalkan kewajipan. Renung-renungkan (n_n)
 
 
 
 

Friday, August 10, 2012

..:: Hidayah Milik Allah ::..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hati resah bila tersasar dari fitrah
Jiwa kosong bila jauh dari Allah
Carilah hidayah....
Pasti kau temui segala hikmah

Subahanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Syukurku ke hadrat Allah masih lagi dkurniakan nikmat kehidupan di atas muka bumi ini dengan kurniaan nikmat yang paling besar iaitu nikmat IMAN dan ISLAM. Sungguh, dengan ISLAM, segala kehidupan kita akan berada di bawah perlindungan Allah. 

Malam itu, seusai sahaja solat terawih di surau, aku segera balik ke asrama memandangkan kerja tugasan yang diberikan pensyarah berlambak-lambak. Dalam perjalanan balik, tiba-tiba aku menerima mesej daripada salah seorang sahabat baikku.

" Assalamualaikum ya ukhti. Enti apa kabar? Ada nama Islam yang sesuai tak dengan sahabat ana ______________ ... Dia bercadang nak masuk Islam. InsyaAllah dalam bulan Ramadhan nie. Enti tolong doakan dia moga urusannya dipermudah ya ..(n_n)...."

Allahuakbar. Ramadhan Kareem. Tersentuh hati membaca mesej dan mendengar khabaran gembira daripada sahabat baikku itu. Ternyata penyebaran dakwahnya berkesan sehingga mampu menarik minat sahabat bukan Islam untuk menjadi saudara baru. Keberkatan bulan Ramadhan, moga Allah mempermudahkan segala urusannya.

Dan sungguh indah perancangan Allah. Kita merancang tapi Allah lah sebaik-baik perancang buat setiap apa yang terjadi. Ternyata kebaikan itu milik dirinya. Di hari yang mulia, penghulu segala hari, Sayyidul yaum, hari Jumaat pukul 2 petang, bersaksikan segala isi Bumi, dirinya melafazkan kalimah syahadah. Ya Allah. Ya Rabbi. Alhamdulillah. Alhamdulillah wa syukur lillah. 



Jalan perjuangan ini tidak mudah sahabat. Andai ianya mudah sudah pasti ramai yang menyertainya. Namun, sebaliknya ianya penuh onak dan duri. Itulah mahar dan bayaran yang perlu kita langsaikan untuk mendapatkan Jannah.


 



Thursday, July 19, 2012

..:: Ukhuwwah Diuji | Jangan Berani Mengaku Sahabat Jika Kita Bukanlah Sahabat ::..


بسم الله الرحمن الرحيم

“..Ingatlah! Di saat sahabat kita diuji dengan ujian kehidupan, sebenarnya ukhuwwah kita juga sedang diuji..”

Dalam meniti jalan perjuangan ini, sudah pasti kita tidak akan merasa mudah dan sentiasa berasa dalam keselesaan. Hakikat perjuangan itu memang pahit dan penuh dengan jerit perih yang menguji ketabahan dan kesabaran. Dan yang paling penting sudah tentulah akan menguji keimanan kita.

Ujian datang silih berganti. Bebanan semakin berat terasa. Amanah semakin sukar dilaksana. Jiwa terasa resah, hati terasa gelisah. Namun, digagahkan kaki melangkah meneruskan perjalanan kehidupan meski di dasar jiwa dan hati itu sarat dengan pelbagai permasalahan yang belum ditemui jalan penyelesaiannya. Luarannya nampak ceria namun jauh di sudut hatinya menangis pilu. Adakalanya terpancar keletihan di wajah namun diukir senyuman pengubat segala keresahan jiwa.
Bagaimana mungkin seseorang itu mengaku dirinya sebagai teman dan sahabat seperjuangan sedangkan saat sahabatnya diuji dengan permasalahan kehidupan, dia berasa megah dalam perjuangan dan memandang serong dan sinis pada sahabatnya yang tersalah dalam tindakan serta tersasar dari matlamat perjuangan.
Bagaimana mungkin kita mengaku diri kita pejuang agama Allah jika kita membiarkan sahabat kita lemah dalam ujiannya dan tidak membantu untuk menegakkan yang hak dan meruntuhkan yang batil. Yang hak dan yang batil tidak akan pernah berjalan seiring.
Mungkin jati diri ini tidak terlalu kuat untuk menegakkan pendirian sendiri. Tapi, sebagai seorang sahabat, cubalah kita tanamkan sifat empati dalam diri kita. Letakkan diri kita dalam situasi dan keadaan yang sahabat kita alami. Kemudian, cubalah untuk membantu menyelesaikan bukannya sibuk menyalahkan. Menyalahkan sahabat kita kerana membantu dalam program maksiat kononnya. Hebat mengeluarkan hujah menyatakan sahabat kita mendapat saham ke neraka di akhirat kelak. Memandang serong. Sinis dalam percakapan. Kita tidak tahu sahabat kita menjalankan tindakan dalam ketidakrelaan hatinya dan tanpa redha diri sendiri sekadar ingin menjalankan tugas dan mengelakkan pergaduhan dan persengketaan yang mungkin akan lebih teruk lagi.
Mana mungkin hati ini tidak terguris dengan pandangan serong sahabat-sahabat sendiri saat setiap gerak laku pada hari itu membantu untuk menjayakan program itu. Mana mungkin telinga ini tidak terasa pedih dengan sindiran dan kata-kata sinis mengeluarkan hujah setiap gerak laku pada hari itu adalah berdosa dan mendapat saham ke neraka.
Mereka tidak tahu betapa sepanjang menerima tugasan itu, hati terasa resah, jiwa gelisah, fikiran buntu mencari penyelesaian. Diri ini hanyalah hamba yang lemah dan hina. Ilmu di dada hanya sekelumit jika dibandingkan dengan ilmu yang mereka miliki. Tahap  keimanan juga mungkin hanyalah sekelumit daripada mereka yang sangat hebat dalam ilmu agama. Saat diri ini menerima banyak mesej-mesej agar tidak terlibat langsung dalam program tersebut, hati semakin resah memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik. Ya Allah! Ya Allah.... mana mungkin aku tergamak untuk menyelamatkan diri sendiri dan meninggalkan serta membiarkan mereka dalam permasalahan ini. Akhirnya, aku bertekad untuk bersama-sama adik-adikku untuk menjalankan tugas ini hanya sekadar tugasan. Biarlah Allah yang menilai niat di dalam hati kami betapa DIA lebih mengetahui segala isi hati hambaNya yang takut mendapat kemurkaanNya. Aku berpesan pada adik-adikku agar menguatkan hati dan jiwa dengan sindiran daripada orang sekeliling. Mereka tidak berada pada situasi ini. Mereka hanya tahu menyalahkan dan memberi hukuman kami mendapat saham di akhirat kelak. Saham membantu program maksiat kononnya. Saham neraka. Sungguh aku takut dengan azabMu ya Allah. Selamatkan kami daripada seksaanMu dan jauhkan kami daripada kemurkaaanMu.
Sungguh, betapa aku sedih dan kecewa dengan mereka yang mengaku teman seperjuangan, sahabat syurga tapi tergamak membiarkan sahabat sendiri lemah dalam ujian ini dan sanggup pula menyalahkan segala tindakan yang dilakukan tanpa cuba membantu untuk mengeluarkan sahabat sendiri daripada permasalahan ini. Mungkin mereka berasa hebat dalam perjuangan kerana berani mempertahankan jati diri untuk memboikot program tersebut. Tetapi sebenarnya jauh di sudut pandangan hamba yang hina ini betapa mereka itu sebenarnya gagal menjadi seorang sahabat kerana sanggup membiarkan sahabat sendiri bersendirian menghadapi ujian ini. Ingatlah !!!! Sentiasalah ingat di dalam hati, sematkan dalm jiwa...SAAT SAHABAT KITA DIUJI DENGAN UJIAN KEHIDUPAN, UKHUWWAH KITA JUGA SEBENARNYA SEDANG DIUJI....
Dan benarlah saat dan ketika kita menghadapi sesuatu ujian, saat itulah kita mengenal yang mana sahabat sejati kita. Sahabat yang sentiasa memberikan motivasi agar tidak lemah dalam ujian, sahabat yang memahami keadaan dan situasi, tidak hanya menyalahkan jika tersalah dalam tindakan tetapi cuba untuk membantu menyelesaikan. Ya Allah, peliharalah ikatan hati-hati kami agar sentiasa erat dalam mendukung dan memperjuangkan kalimahMu. Moga dengan ujian ini akan mendekatkan diriku padaMU. Sungguh, aku tidak berharap pada belas kasihan manusia kerana aku tahu itu hanya akan memberi kekecewaan dan meresahkan jiwaku. Hanya padaMu aku serahkan segala pengabdian diriku, cukup hanya padaMu aku memohon segala rahmat agar memberi keampunan di atas segala kesilapan dan kesalahan ku dalam melaksanakan setiap gerak kerja dan gerak laku ku di atas muka bumi ini.

Saturday, June 9, 2012

♥ Merinduimu Sahabatku ♥

Terasa pedih hati saat dirimu pergi..
Terasa sayu diri saat aku bersendiri...
Sungguh...Janji Allah itu pasti...
Bertemu dan berpisah kita kerana Illahi...


Setelah lama menyepi, akhirnya hati ini menyatakan lagi rasa rindunya padamu sahabatku. Moga dirimu tenang dan sentiasa dalam keberkatan Allah. Moga dirimu sentiasa dalam penjagaanNya. Sungguh, medan perjuangan kita kini berbeza corak dan warnanya. Ku dambakan kita bertemu di destinasi akhir perjuangan ini. Meski jarak dan masa kini memisahkan kita, moga Allah menguatkan ikatan hati kita padaNya.

" Tiada seorang Muslim pun yang berdoa untuk saudaranya dari belakang, melainkan malaikat berkata kepadanya, 'Dan bagi kamu seperti yang kamu pinta untuk saudaramu' "
(Riwayat Muslim)


Mana mungkin aku akan melupakanmu sahabatku. Pelbagai kisah suka duka kita lalui bersama. Mungkin juga hari-hari yang kita lalui bersama adalah pelajaran berguna untuk kita mencapai proses kematangan dalam silibus kehidupan yang sementara ini. Percayalah, dalam hati ini tidak akan pernah terbit rasa benci untuk sesiapa selagi mana dia bergelar saudara seagamaku.... Bertemu dan berpisah kita kerana Allah. Moga dirimu sentiasa dalam penjagaan Rabbul Izzati. =)

Wednesday, June 6, 2012

..:: Zikir Terapi Diri | Astaghfirullahalazim ::..



..:: I seek forgiveness from Allah The Almighty | Aku mohon pada Allah Yang Maha Agung ::..

Lelah aku melangkah,
Lemah aku bangkit dari rebah,
Aku resah lalu berserah,
Kembali aku pada Allah...

Dosaku menggunung tinggi,
Semua terlukis di lakaran usiaku,
Ya Illahi Rabbul Izzati,
Ku tak sanggup menghadapi azab seksaMU...

Tak layak ku masuk ke syurgaMu,
Namun tak sanggup ku menghadapi nerakaMu,
Sungguh ku mendambakan redhaMu,
Izinkan aku mendapat rahmat & maghfirahMu...

Jauhkan hatiku dari dunia yang menyesakkan,
Dekatkan aku pada akhirat yang mendamaikan,
Jauhkan aku dari cinta yang penuh kepalsuan,
Damaikan hatiku dengan cintaMu yang membahagiakan...

Selamatkan hambaMu dari penipuan syaitan,
Kuatkan hambaMu dengan pimpinan Al-quran,
Campakkan hati  dengan keimanan,
Moga  istiqamah di jalan perjuangan.

[ Jalan mujahadah ini pahit kerana syurga itu manis ]




Wednesday, March 28, 2012

Tekad hati tuk bertahan::..Yakin Allah Menjaganya

   بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
  
Di sebalik kepayahan, di situlah kekuatan....
Tekad hati tuk bertahan....
Keyakinan teguh pada Tuhan.....

Meniti hari-hari bersama mereka terasa begitu pantas masa berlalu.... Dan kini ku tabahkan lagi hati ini untuk pergi..... Dan kini ku gagahkan langkah ini untuk melangkah dan terus melangkah di perjalanan kehidupan.... Dan tiba saatnya kan kutemui kemanisan di sebalik ujian yang mendatang....

Tiba-tiba teringat aku pada realiti yang disembunyikan daripada pengetahuanku...;

" Nanti bolehlah azye jaga adik tym ________ kena bedah..."

Haah???? Aku terpempan sebentar.... Pembedahan? Lidahku kelu berkata namun hatiku terus melontarkan persoalan demi persoalan... Dan akhirnya ku gagahkan jua utk berbicara ;

" Siapa kena bedah??________ sakit apa?

Terdapat ketenangan pada nada suaraku. Tetapi hanya Tuhan yang tahu betapa aku cuba untuk bertahan daripada menitiskan air mata ku di hadapannya.....

" Ketumbuhan...... baru dikenalpasti........"

 " Ya Allah aku sangat menyayanginya..... "
>>.....Betapa hinanya aku di hadapanMu....Mempersoalkan ketentuanMu yang pasti tersirat hikmah...<<


<<Aku bermuhasabah diri>>

"Ya Allah kurniakanlah aku kekuatan dan ketabahan menghadapi setiap ketentuanMu...Andai ini perjalanan hidupnya...Kuatkanlah dia untuk menghadapinya...Moga dengan ujian yang Kau beri menyingkap sejuta rahmat yang tersembunyi....."


Seriously terkejut sangat dengar berita tue sampai demam sepanjang cuti. Terlihat ketenangan dan kesabaran di wajahnya, namun siapa tahu kesakitan yang dirasainya. Moga dengan kesakitan itu, dia bersabar dan menjadi kafarrah dosa-dosa lalunya. Ya Allah....kurniakanlah kami rahmat di sisiMu....

Rasa berat hati ini untuk melangkah pergi meninggalkannya dan semua yang tersayang. Namun, apakan daya perjuangan itu memang pahit dan pasti kelak akan memberikan kemanisan di penghujungnya. Aku bermuhasabah diri. Hatiku berbicara sendiri, akal ku ligat mencari hikmah yang tersembunyi.
........................................................................

Perjalanan kehidupan bermula dengan sebuah kelahiran dan berakhir dengan sebuah kematian. Kematian bukanlah satu titik akhir kehidupan. Namun sebenarnya kematian merupakan satu titik permulaan sebuah kehidupan yang abadi. Apa guna kita menangisi sesuatu yang telah pergi? Usah kita dikuasai hasutan syaitan yang membawa kepada kekecewaan dan kesedihan yang berpanjangan. Mereka hanya pinjaman Allah. Dan bila mana saat memulangkan telah tiba, kita perlu sabar dan redha. Jangan terus meratapi nasib diri kelak mengundang buruk sangka pada ketetapan Illahi.

Mengapa perlu bersedih wahai diri???
Bukankah Allah telah berjanji bahawa ujian hebat untuk hamba-hambaNya yang hebat. Bukankah Dia telah menyatakan di dalam ayat-ayat suciNya bahawa Dia akan bersama hamba-hambaNya yang sabar? Kenapa perlu meragui? Janji Allah itu pasti.

Benarlah kata-kata mereka: " Ujian kehidupan membentuk kekuatan dan ketabahan diri mengharungi perjalanan yang penuh onak dan duri.."

Dulu, mungkin diri ini pernah lemah saat diuji dengan pemergian mereka yang sangat disayangi. Apatah lagi insan yang kerap bersama-sama diri ini. Namun, dalam kelemahan itu juga sebenarnya membentuk kekuatan dan kesabaran dalam diri.

Seriously, kerisauan semakin hari semakin menebal dalam diri ini. Bagaimana agaknya keadaannya saat ini. Namun aku sedar, dari pengalaman lalu aku belajar untuk memperbaiki diri.
 .RISAU. RUNSING. SERABUT. TEKANAN. 

Aku perlu kembali ke alam realiti. Jangan hanyut dibuai kerisauan, kesedihan dan kekecewaan yang berpanjangan. Kerana aku sedar itulah senjata syaitan laknatullah untuk kita lemah saat ujian menimpa. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk "BE PROFESSIONAL". Kita hidup nie dikelilingi oleh ramai orang. Kadang-kadang, dengan emosi kita yang tidak stabil akan membuatkan orang sekeliling turut tertekan. Bukan salah mereka untuk kita membuatkan mereka turut tertekan. Meskipun kekusutan dan kerisauan melanda hati dan sanubari, namun jangan pernah mempamerkannya pada mereka yang berada di sekeliling kita. Hidup ini sementara. Sayangi dan hargailah mereka semua. Biarkan mereka meneruskan kehidupan dengan keceriaan. Jangan matikan kegembiraan mereka dengan kesedihan kita. 
Ya Allah...Kuatkanlah hatiku...


Kini...ku kuatkan hati untuk terus melangkah dengan optimis. Meski aku tidak dapat menjaganya, namun aku yakin Allah sentiasa menjaga dirinya..Dan aku yakin dan terus yakin Allah mentakdirkan yang terbaik buatnya. Semoga kesabaran dan ketabahan itu sentiasa tersemat dalam hatinya saat diuji dengan ujian ini.









Friday, January 6, 2012

~::..Kau Tetap Sahabatku..::~

"...Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah jika semuanya kerana Allah..."

Alhamdulillah masih diizinkan mendapat nikmat IMAN dan ISLAM meski bertali arus dugaan datang menguji kesabaran dan ketabahan.....

Teringat kata-kata kaunselor itu, " Walau kamu berkawan baik dengan sahabat kamu, serapat mana pun kamu, satu masa kelak bila mana kamu berkelahi teruk, boleh jadi hubungan kamu renggang, retak dan putus.... "


Ibarat sebuah cermin. Begitulah juga persahabatan. Andai cermin itu pecah atau retak, ia tidak akan dapat dicantum kembali seperti asal. Meski dicantum menggunakan gam, ia pasti meninggalkan kesan retak pada cermin itu. Begitulah analoginya sebuah persahabatan yang diuji dengan pertelingkahan. Meski pertelingkahan itu berakhir dengan kemaafan, pasti memberi kesan di dasar hati yang dalam.


Ku gagahkan langkah menyusuri,
Meneruskan hidup tanpamu lagi,
Kerna ku yakini,
Allah sentiasa bersama diri ini.....

Walau perit, pedih dan duka hati ini,
Ku tabahkan dan terus membina kekuatan diri,
Kerna ku sedari,
Kau hanya pinjaman dari Illahi.....

Sungguh angkuh diri ini,
Tidak sanggup memulangkan pinjaman dari Illahi,
Sungguh hina diri ini,
Menangisi sesuatu yang bukan milik sendiri....

Bertemu kita kerana takdir Illahi,
Bersama kita kerana ketentuan ya Rabbi,
Berpisah kita menguji ukhuwah ini,
Ternyata hidup ini permainan duniawi....

Aku menasihati bukan kerana dengki,
Aku memarahi bukan kerana membenci,
Aku menangisi bukan kerana kau yang telah pergi,
Tapi merintih mendamba keampunan ILLAHI....

Kini, 
Kita berpisah di persinggahan ini,
Menjalani kehidupan sendiri,
Segala janji yang teguh berdiri,
Kini hancur dan musnah bersama memori....

Ku simpan segala kenangan bererti,
Buat bekalan menginsafi diri,
Aku tidak mampu untuk sentiasa di sisi,
Namun yang pasti doaku sentiasa mengiringi...

Ku genggam tabah hati ini,
Ku semat azam jiwa ini,
Ku sedari Allah menguji diri ini,
Untuk meletakkan CINTA ABADI di dalam hati ini......

Dedicated to: Sahabat yang telah pergi bersama memori....


Ternyata Allah menguji kita dengan apa yang kita dakwahkan, Allah menguji kita dengan apa yang kita perkatakan.. Sungguh, Allah menguji kita sahabat.... Moga pertelingkahan di dunia ini digantikan dengan persahabatan di akhirat kelak....Mungkin Allah memutuskan kasih antara kita untuk menyambung kasih kita pada Allah..InsyaAllah.....

Di usiamu ini, ku doakan agar kau dapat menilai antara permata dan kaca, kau dapat menilai antara yang sementara dan yang kekal abadi dan yang paling penting ku doakan kau dapat memilih yang terbaik antara IMAN dan NAFSU....
Kalau setiap tahun aku menjadi orang yang pertama mengucapkan ucapan hari lahir buatmu namun kini meskipun aku bukan yang pertama memberikan ucapan buatmu tetapi aku akan tetap menjadi orang yang pertama mendoakan dirimu....


"MENYEMAI CINTA DALAM DERITA"


- Seorang SAHABAT SYURGA bukan hanya menemani ketika berada di dunia, tapi juga ketika berada di sana nanti...Mungkin SAHABAT SYURGA kita tidak sentiasa muncul bersama-sama kita menyusuri hidup ini, namun dalam diam SAHABAT SYURGA kita sentiasa mendoakan kita tiap saat dan tiap ketika... Boleh jadi orang yang kita perlekehkan nasihat dan tegurannya di dunia inilah yang akan membantu kita di akhirat kelak....Boleh jadi orang yang kita tidak suka itulah yang akan menjadi SAHABAT kita di syurga kelak.....SAHABAT SYURGA.....Kemanisan dalam kepahitan berukhuwwah....-
Cute Red Flying Butterfly