Pages




Friday, January 28, 2011

Kala kekecewaan ini berubah warna...

بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Dalam kepedihan aku menyibukkan diri dengan segala benda yang boleh membuatkan aku lupa pada kekecewaan yang menyeksa jiwa. Tiap detik dan tiap ketika aku mengharap kekuatan dan ketabahan dari-Nya untuk ku berjuang memperbaiki segala kekhilafan dan segala kesilapan. Adakalanya aku berasa tenang dengan setiap langkah yang ku atur untuk kembali pada-Nya. Namun adakalanya ada saat dan ketikanya memori serta kenangan-kenangan itu bermain-main di fikiranku. Rasa perit dan pedih. Namun ku gagahkan diriku untuk terus melangkah di jalan mujahadah ini. 

Emosi dan perasaan bermain-main di benakku. Berlumba-lumba dengan akal dan iman untuk memerintah kerajaan diri. Setiap kali kekeliruan bermaharajalela,aku beristighfar kembali mengingatiNya. Menyesali segala dosa dan noda yang mengotori perjalanan kehidupan ini. Terasa diri ini terlalu hina. Terlalu kotor untuk bertemu denganNya kelak. Dalam mujahadah ini, aku mengimbau kenangan lalu mengingatkan pada kelalaian serta kebodohan ku menuruti si laknatullah. Terpedaya dengan bisikan dan permainannya. Alangkah mudahnya tergugat dengan kegembiraan. kesenangan dan kebahagiaan yang sementara.

Kini..
Aku bermuhasabah diri, menilai dan mengimbau sepanjang perjalanan kehidupan ini. Matlamat hakikat kehidupanku masih belum sampai pada paksi yang sebenarnya. Dan kini ku gagahkan diri, kuatur langkahku untuk terus teguh pada jalan-Nya. Aku sedar semakin kuat keazaman kita untuk merentasi jalan mujahadah ini, semakin kuatlah ujian serta tarbiyah yang diberikan. Usah terpedaya dengan dunia lagi kerana ia tak punya apa-apa. Cukuplah sekadar kita membawa bekalan untuk menghadapi hari perhitungan satu masa kelak. Cukup-cukuplah mengumpul dosa. Marilah bersatu mengejar ganjaran yang berlipat-ganda. 

Biarkan yang lalu itu terus berlalu.. Dan kini tiba masanya untuk menumpukan sepenuh perhatian pada perjalanan yang kian berliku.Menguji tahap kesabaran, keimanan dan keteguhan jiwa dalam perjuangan menujuNya. Cukuplah segalanya yang melalaikan diri ini. Moga kini ku istiqamah memperjuangkan kebenaran dalam diri. Teguh dalam menolak kebatilan dan kepalsuan. 

No comments:

Post a Comment

Cute Red Flying Butterfly