Pages




Thursday, July 19, 2012

..:: Ukhuwwah Diuji | Jangan Berani Mengaku Sahabat Jika Kita Bukanlah Sahabat ::..


بسم الله الرحمن الرحيم

“..Ingatlah! Di saat sahabat kita diuji dengan ujian kehidupan, sebenarnya ukhuwwah kita juga sedang diuji..”

Dalam meniti jalan perjuangan ini, sudah pasti kita tidak akan merasa mudah dan sentiasa berasa dalam keselesaan. Hakikat perjuangan itu memang pahit dan penuh dengan jerit perih yang menguji ketabahan dan kesabaran. Dan yang paling penting sudah tentulah akan menguji keimanan kita.

Ujian datang silih berganti. Bebanan semakin berat terasa. Amanah semakin sukar dilaksana. Jiwa terasa resah, hati terasa gelisah. Namun, digagahkan kaki melangkah meneruskan perjalanan kehidupan meski di dasar jiwa dan hati itu sarat dengan pelbagai permasalahan yang belum ditemui jalan penyelesaiannya. Luarannya nampak ceria namun jauh di sudut hatinya menangis pilu. Adakalanya terpancar keletihan di wajah namun diukir senyuman pengubat segala keresahan jiwa.
Bagaimana mungkin seseorang itu mengaku dirinya sebagai teman dan sahabat seperjuangan sedangkan saat sahabatnya diuji dengan permasalahan kehidupan, dia berasa megah dalam perjuangan dan memandang serong dan sinis pada sahabatnya yang tersalah dalam tindakan serta tersasar dari matlamat perjuangan.
Bagaimana mungkin kita mengaku diri kita pejuang agama Allah jika kita membiarkan sahabat kita lemah dalam ujiannya dan tidak membantu untuk menegakkan yang hak dan meruntuhkan yang batil. Yang hak dan yang batil tidak akan pernah berjalan seiring.
Mungkin jati diri ini tidak terlalu kuat untuk menegakkan pendirian sendiri. Tapi, sebagai seorang sahabat, cubalah kita tanamkan sifat empati dalam diri kita. Letakkan diri kita dalam situasi dan keadaan yang sahabat kita alami. Kemudian, cubalah untuk membantu menyelesaikan bukannya sibuk menyalahkan. Menyalahkan sahabat kita kerana membantu dalam program maksiat kononnya. Hebat mengeluarkan hujah menyatakan sahabat kita mendapat saham ke neraka di akhirat kelak. Memandang serong. Sinis dalam percakapan. Kita tidak tahu sahabat kita menjalankan tindakan dalam ketidakrelaan hatinya dan tanpa redha diri sendiri sekadar ingin menjalankan tugas dan mengelakkan pergaduhan dan persengketaan yang mungkin akan lebih teruk lagi.
Mana mungkin hati ini tidak terguris dengan pandangan serong sahabat-sahabat sendiri saat setiap gerak laku pada hari itu membantu untuk menjayakan program itu. Mana mungkin telinga ini tidak terasa pedih dengan sindiran dan kata-kata sinis mengeluarkan hujah setiap gerak laku pada hari itu adalah berdosa dan mendapat saham ke neraka.
Mereka tidak tahu betapa sepanjang menerima tugasan itu, hati terasa resah, jiwa gelisah, fikiran buntu mencari penyelesaian. Diri ini hanyalah hamba yang lemah dan hina. Ilmu di dada hanya sekelumit jika dibandingkan dengan ilmu yang mereka miliki. Tahap  keimanan juga mungkin hanyalah sekelumit daripada mereka yang sangat hebat dalam ilmu agama. Saat diri ini menerima banyak mesej-mesej agar tidak terlibat langsung dalam program tersebut, hati semakin resah memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik. Ya Allah! Ya Allah.... mana mungkin aku tergamak untuk menyelamatkan diri sendiri dan meninggalkan serta membiarkan mereka dalam permasalahan ini. Akhirnya, aku bertekad untuk bersama-sama adik-adikku untuk menjalankan tugas ini hanya sekadar tugasan. Biarlah Allah yang menilai niat di dalam hati kami betapa DIA lebih mengetahui segala isi hati hambaNya yang takut mendapat kemurkaanNya. Aku berpesan pada adik-adikku agar menguatkan hati dan jiwa dengan sindiran daripada orang sekeliling. Mereka tidak berada pada situasi ini. Mereka hanya tahu menyalahkan dan memberi hukuman kami mendapat saham di akhirat kelak. Saham membantu program maksiat kononnya. Saham neraka. Sungguh aku takut dengan azabMu ya Allah. Selamatkan kami daripada seksaanMu dan jauhkan kami daripada kemurkaaanMu.
Sungguh, betapa aku sedih dan kecewa dengan mereka yang mengaku teman seperjuangan, sahabat syurga tapi tergamak membiarkan sahabat sendiri lemah dalam ujian ini dan sanggup pula menyalahkan segala tindakan yang dilakukan tanpa cuba membantu untuk mengeluarkan sahabat sendiri daripada permasalahan ini. Mungkin mereka berasa hebat dalam perjuangan kerana berani mempertahankan jati diri untuk memboikot program tersebut. Tetapi sebenarnya jauh di sudut pandangan hamba yang hina ini betapa mereka itu sebenarnya gagal menjadi seorang sahabat kerana sanggup membiarkan sahabat sendiri bersendirian menghadapi ujian ini. Ingatlah !!!! Sentiasalah ingat di dalam hati, sematkan dalm jiwa...SAAT SAHABAT KITA DIUJI DENGAN UJIAN KEHIDUPAN, UKHUWWAH KITA JUGA SEBENARNYA SEDANG DIUJI....
Dan benarlah saat dan ketika kita menghadapi sesuatu ujian, saat itulah kita mengenal yang mana sahabat sejati kita. Sahabat yang sentiasa memberikan motivasi agar tidak lemah dalam ujian, sahabat yang memahami keadaan dan situasi, tidak hanya menyalahkan jika tersalah dalam tindakan tetapi cuba untuk membantu menyelesaikan. Ya Allah, peliharalah ikatan hati-hati kami agar sentiasa erat dalam mendukung dan memperjuangkan kalimahMu. Moga dengan ujian ini akan mendekatkan diriku padaMU. Sungguh, aku tidak berharap pada belas kasihan manusia kerana aku tahu itu hanya akan memberi kekecewaan dan meresahkan jiwaku. Hanya padaMu aku serahkan segala pengabdian diriku, cukup hanya padaMu aku memohon segala rahmat agar memberi keampunan di atas segala kesilapan dan kesalahan ku dalam melaksanakan setiap gerak kerja dan gerak laku ku di atas muka bumi ini.

2 comments:

  1. Assalammualaikum Azye.
    kubaca catatan emosimu,catatan berbaur duka dan himpitan rasa.
    Jangan layan.
    Andai kawan, rakan dan yg.bernama sahabat menghimpit rasamu, mencalar luka dihatimu, ingat mereka itu 'manusia'biasa.Jangan diperdulikan.
    Kuatkan semangat gadisku.Semoga sentiasa tabah dan 'selamat menunaikan ibadat puasa'..nanti raya datang rumah ya.Sayang dulu, kini dan selamanya.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam makcik yg disayangi selalu... terima kasih atas nasihat makcik. InsyaAllah, dari masalah kita belajar erti hidup.....=)
    sayang makcik selalu...jemput datang umah jugak..insyaAllah kalau diizinkan Allah moga dipertemukan di hari lebaran nanti.....(n_n) Rindu dgn makcik n miming......

    ReplyDelete

Cute Red Flying Butterfly